Thursday, June 19, 2008

KES SITI FATIMAH : BUKTI KEMENANGAN SEKULAR-mykhilafah.com

Dipetik dari mykhilafah.com

Pada hari khamis lepas telah terpahat dalam lembaran sejarah kehakiman Negara Malaysia, apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang meluluskan permohonan murtad oleh seorang wanita yang bernama Siti Fatimah, 39 yang nama asalnya ialah Tan Ean Huang. Penghakiman itu diberikan oleh Hakim Syarie Othman Ibrahim manakala Siti Fatimah diwakili oleh peguam syarie Ustaz Ahmad Jailani. Kes ini ternyata mengundang reaksi dari banyak pihak kerana ia menjadi ‘landmark case’ yang membenarkan permohonan murtad di Malaysia. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat dari pelbagai kaum seharusnya menerima keputusan ini. Keputusan mahkamah itu dibuat selepas majlis penasihat membuat pertimbangan sewajarnya dan seharusnya diterima oleh orang ramai [UM 09/05/08]. Di antara orang yang gembira dengan keputusan mahkamah ini adalah presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang menyatakan, “Ini adalah langkah penting untuk rakyat Malaysia yang progresif, berbilang kaum dan berbilang budaya. MCA selalu menekankan bahawa agama adalah satu hal peribadi dan ia adalah hak setiap rakyat Malaysia untuk memilih agama masing-masing sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”. Tegasnya lagi, “adalah menjadi hak Siti Fatimah untuk memeluk Islam dan begitulah sebaliknya, menjadi haknya juga untuk keluar dari Islam.” Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah turut mengeluarkan kenyataan yang hampir sama, “adalah menjadi hak Siti Fatimah untuk kembali kepada agama asalnya (tetapi) Majlis sepatutnya mengambil berat kebajikan mua’laf seperti Siti Fatimah” [sila rujuk http://thestar.com.my untuk membaca komen penuh yang diberikan].

Seperti biasa, kumpulan liberal yang sering ‘dinaikkan’ dalam isu murtad ini adalah Sisters In Islam. Pengurus programnya, Norhayati Kaprawi berkata, “Pendirian kami adalah – apabila seseorang itu tidak mahu berada di dalam suatu agama, tidak ada guna bagi pihak berkuasa menyekatnya dari keluar. Kes ‘landmark’ ini adalah selari dengan ajaran Islam dan juga Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama” [http://thestar.com.my]. Turut sama mengulas isu ini adalah Mufti Perlis Mohd Asri yang menyifatkan keputusan ini adalah ‘tepat’ dan komentari ini terkandung dalam laman webnya “..Saya puji tindakan peguam Ahmad Jailani Abd Ghani dan Hakim Syarie Perlis, Othman Ibrahim kerana berani mengendalikan kes sebegini yang pertama kali seumpamanya di Malaysia…Akidah Fatimah atau nama sebenarnya Tan Ean Huang, 39, yang tidak mengamalkan ajaran Islam sejak awal lagi sudah murtad, walaupun sebelum mendapat pengiktirafan mahkamah,” [BH 10/05/08]. Amat menyedihkan apabila orang-orang Islam yang sepatutnya menjaga agama Islam dan sepatutnya berjuang untuk menegakkan agama Allah ini, sebaliknya menyokong keputusan mahkamah syariah yang diputuskan bukan berdasarkan hukum Allah, malah bertentangan langsung dengan Al-Quran dan Al-Sunnah. Walau apa alasan yang diberikan oleh hakim, peguam, mufti, pemimpin Islam mahupun pemimpin bukan Islam, namun yang pasti, ‘kebenaran’ dan ketepatan itu hanyalah apabila kita berhukum dengan hukum Allah, bukan mengikut akal masing-masing. Ukuran ‘kebenaran’ itu adalah apabila ia ‘bertepatan dengan Al-Quran dan Sunah’, bukannya kerana bertepatan dengan logik akal, bukannya kerana bertepatan dengan Perlembagaan dan bukannya kerana bertepatan dengan Enakmen Aturcara Mal 2004 Pulau Pinang.

Sekilas Fakta & Keputusan Kes Siti Fatimah

Sebelum kita melihat hukum syarak ke atas apa yang berlaku, kita perlu memahami realiti kes Siti Fatimah ini terlebih dahulu dan hujah-hujah yang dibawa oleh semua pihak. Pada 10 Julai 2006, Siti Fatimah telah memfailkan permohonannya terhadap MAIPP selaku defendan, untuk keluar dari Islam. Menurut pernyataan tuntutannya, beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk agama itu sekadar untuk mencukupkan syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki warga Iran bernama Ferdoun Ashanian pada 16 September 2004. Siti Fatimah, yang pernah bekerja sebagai tukang masak, memfailkan permohonan itu selepas ditinggalkan suaminya yang menghilangkan diri tanpa sebarang sebab. Dalam tuntutannya juga, beliau menyatakan bahawa sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha dan memakan daging khinzir. Berdasarkan sejumlah fakta yang dikemukakan, dengan hujah peguam dan saksi yang telah meyakinkan beliau, maka hakim Othman Ibrahim berpuas hati yang plaintif tidak mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk agama itu pada 25 Julai 1998. Hakim lalu membenarkan permohonan Siti Fatimah Tan Abdullah untuk mendapatkan pengisytiharan keluar daripada agama Islam (murtad). Beliau juga turut memerintahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) membatalkan sijil memeluk Islam wanita itu. Untuk menukar status dalam kad pengenalan, Siti Fatimah diminta menguruskannya dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana itu di luar bidang kuasa mahkamah syariah. Hakim Othman Ibrahim dalam pada itu melahirkan rasa kesal dan mengkritik MAIPP kerana lalai dengan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan mualaf.

Berdasarkan apa yang dihujahkan oleh peguam Ahmad Jailani, kita dapat simpulkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga persoalan/perbahasan penting yang berlaku dalam kes ini. Pertama: permohonan ini bukannya untuk ‘keluar dari Islam’ tetapi untuk ‘menentukan status agama’ Siti Fatimah. Kedua: Siti Fatimah bukan seorang Muslim walaupun telah bersyahadah, kerana dia hanya bersyahadah (untuk masuk Islam) secara ‘formaliti’ untuk membolehkan dia berkahwin dengan orang Islam. Ketiga: Siti Fatimah tidak dikatakan Islam kerana dia sentiasa mempraktikkan ajaran agama asalnya (Buddha) sama ada sebelum atau selepas syahadah (pengisytiharan masuk Islam).

Menjawab Beberapa Persoalan Dan Kekeliruan

Persoalan Pertama: Berdasarkan satu wawancara yang disiarkan di Internet [http://youtube.com/watch?v=echaEOz0OrU], Ahmad Jailani mengakui yang memohon murtad adalah haram di dalam Islam dan beliau tidak akan bersetuju dengan perkara ini. Beliau juga yakin bahawa hukuman bagi si murtad adalah bunuh dan beliau tidak akan menyokong jika permohonan adalah untuk murtad. Tetapi di dalam kes ini, ia adalah permohonan ‘untuk menentukan status agama’, sebab itulah beliau sanggup mengambilnya. Sekali dengar, ada logiknya dengan hujah yang dikemukakan, namun umum mengetahui bahawa peguam memang pandai bermain kata-kata. Kita akan dapat tahu apakah permohonan sebenar di dalam kes ini jika kita dapat melihat Pernyataan Tuntutan (Statement of Claim) yang difailkan oleh Ahmad Jailani, namun berdasarkan laporan media, memang salah satu dari permohonan itu adalah untuk mengisytiharkan bahawa si plaintif (Siti Fatimah) telah keluar dari Islam (murtad). Jika benar sekalipun sebagaimana didakwa Jailani, persoalannya adalah, apakah bezanya antara “permohonan mengisytiharkan diri sebagai bukan Islam” dengan “permohonan untuk keluar dari Islam”? Bukankah itu hanya ‘mainan’ kata-kata/istilah perundangan yang sememangnya bersifat terpusing-pusing? Pokoknya, permohonan itu dibuat oleh Ahmad Jailani SETELAH terdapat bukti bahawa Siti Fatimah telah memeluk Islam dan kini memohon untuk keluar dari Islam (memohon murtad). Jadi, hakikatnya di sini adalah “permohonan untuk mengisytiharkan agama Siti Fatimah (Buddha)” adalah permohonan untuk mensahkan bahawa Siti Fatimah telah murtad. Jadi, ia sebenarnya tidak ada bezanya.

Persoalan Kedua: Ahmad Jailani menegaskan bahawa Siti Fatimah bukanlah seorang Islam walaupun dia telah mengucap syahadah. Ini kerana syahadah yang diucap itu hanyalah untuk memenuhi syarat bagi membolehkan dia berkahwin dengan seorang Muslim. Inilah pendapat dan hujah peguam yang mewakili si murtad ini. Dengan hujah ini jugalah beliau berani menyatakan bahawa ‘ini bukan permohonan murtad’ kerana Siti Fatimah tidak pernah pun masuk Islam. Peguam ini juga menyatakan bahawa keIslaman seseorang itu perlu disertai niat dan semasa mengucapkan syahadah, jelas bahawa Siti Fatimah tidak memahami kalimah ini, jadi dia bukanlah seorang Islam. Jailani tidak menolak kemungkinan yang Siti Fatimah berbohong bahawa dia tidak memahami kalimah syahadah yang dia ucapkan. Yang peliknya, Jailani dalam masa yang sama, menyatakan bahawa Siti Fatimah faham bahawa ‘kesan’ dari syahdatain adalah dia akan menjadi seorang Islam. Jadi, persoalan hukum syarak yang perlu diselesaikan di sini adalah, apakah seseorang itu telah beragama Islam setelah mengucap syahadatain?

Untuk menjawab persoalan dan kekeliruan ini marilah kita merujuk kepada dua pusaka agung yang ditinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Terdapat beberapa riwayat yang jelas yang menerangkan kepada kita tentang ‘status keIslaman’ seseorang, setelah dia mengucap syahadah. Ibnu Katsir di dalam menafsirkan Surah al-Nisa’ (4) ayat 92-94 menjelaskan dengan panjang lebar tentang asbabunuzul dan makna ayat-ayat tersebut. Menurut Imam Ibn Katsir, dari Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam, ayat 92-93 dari surat al-Nisa ini diturunkan mengenai Abu Darda’, salah seorang sahabat nabi yang telah membunuh seorang lelaki kafir yang mengucap syahadah di saat Abu Darda’ mengangkat pedang (untuk membunuhnya). Abu Darda’ tidak menghiraukan syahadah lelaki itu lalu dibunuhnya juga. Dan apabila dia menceritakan kepada Rasulullah akan apa yang telah berlaku (dengan tambahan keterangan) bahawa lelaki itu mengucap sekadar untuk menghindari dirinya dari dibunuh, lalu Rasulullah bersabda “Hal syaqaqta ala qalbihi?” (“apakah kamu telah membedah hatinya?”) [Tafsir Ibnu Katsir].

Dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengutus Khalid Al-Walid kepada suku Bani Khuzaimah mengajak mereka masuk Islam. Mereka tidak menyatakan dengan tegas “aslamna” (“kami telah masuk Islam”) tetapi hanya menyatakan “saba’na saba’na” (“kami telah bertukar agama”). Oleh Khalid Al-Walid, dibunuhnya suku tersebut. Apabila sampai berita pembunuhan itu kepada Rasulullah, baginda bersabda seraya mengangkat kedua tangannya, “Allahumma inni abra’a ilaika mimma sana’a Khalid” (“Ya Allah aku berlepas diri kepada Engkau darip apa yang dilakukan oleh Khalid”). Kemudian Rasulullah mengutus Ali bin Abu Talib untuk membayar diyat kepada keluarga yang dibunuh oleh Khalid itu [HR Bukhari]. Imam Ibnu Katsir juga mengutip Riwayat Ahmad, Bukhari dan Bazzar, tentang Miqdad bin Aswad yang diutus dalam sebuah sariyah (peperangan yang tidak diikuti Rasul), lalu beliau membunuh seorang penggembala kambing yang mengucapkan syahadah. Setelah dipanggil ke hadapan Rasulullah, baginda bersabda, “Wahai Miqdad, apakah engkau membunuh seseorang yang mengucapkan syahadah, apakah jawapan engkau besok tentang La ilaha illallah itu?” [sila baca riwayat penuh dalam Tafsir Ibn Kathir 4:94].

Demikianlah beberapa riwayat yang sahih tentang status seorang yang mengucapkan syahadah yang mana mereka sesungguhnya dikira telah masuk Islam, walau untuk tujuan apa sekalipun syahadah tersebut diucapkan, sama ada untuk menyelamatkan diri dari dibunuh dalam medan perang atau untuk mengelakkan harta dari menjadi ghanimah (rampasan perang). Jadi faktor ‘niat’ bukanlah menjadi syarat sah atau tidak keIslaman seseorang itu, walaupun faktor niat memang boleh mensahkan ibadah seseorang, namun berdasarkan riwayat di atas, ia tidak terpakai di dalam kes ‘masuk Islam’. Satu perkara yang pasti yang tidak diperselisihkan di sini adalah, Siti Fatimah sememangnya telah mengucap dua kalimah syahadah, beliau sendiri mengakuinya, juga terdapat saksi dan terdapat bukti bertulis (Sijil Memeluk Islam). Siti Fatimah memang mengakui bahawa dia telah memeluk Islam untuk berkahwin. Di dalam pernyataan tuntutannya ke mahkamah (yang biasanya disediakan oleh peguam), ada menyebut dengan jelas bahawa “sepanjang memeluk Islam, beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam...” yang bermaksud, beliau (dan peguam beliau) mengakui bahawa beliau (Siti Fatimah) telah ‘memeluk Islam’. Agak pelik kenapa keIslaman Siti Fatimah dipertikaikan sendiri oleh peguam yang menyediakan pernyataan tuntutan tersebut! Apa yang jelas dari segi hukum syarak adalah bahawa ternyata Tan Ean Huang telah memeluk Islam dan adalah seorang Islam (sebelum murtad). Tidak kira apa niat atau tujuan dia memeluk Islam, yang pastinya apabila dia telah mengucap syahadatain, maka dia telah menjadi seorang Muslim. Inilah ketentuan syarak ke atas orang yang mengucap kalimah suci ini.

Persoalan Ketiga: Antara isu yang menjadi tulang belakang dalam kes ini adalah ‘perbuatan’ Siti Fatimah setelah dia mengucap syahadah. Menurut wawancara dengan Ahmad Jailani, Hakim bersetuju dengan hujah beliau bahawa semasa mengucap dua kalimah syahadah itu, plaintif (Siti Fatimah) sebenarnya tidak masuk Islam. Ini kerana berdasarkan zahir fakta tidak ada satu pun bukti yang menunjukkan dia mengamalkan (ajaran) Islam. Setelah mengucap syahadah, Siti Fatimah tidak pernah mengamalkan ajaran Islam, malah langsung tidak berubah dan tetap menyembah berhala, memakan babi dan meminum arak. Satu kemungkinan yang wujud di sini adalah Tan Ean Huang ini berbohong kepada peguamnya dan juga kepada mahkamah tentang ‘perbuatannya’. Untuk menang kes, kita tahu bahawa orang Islam pun sanggup berbohong, apatah lagi orang kafir/murtad. Namun, jika dia tidak berbohong sekalipun, isu yang kita perlu putuskan di sini ialah berhubung soal ‘akidahnya’ yang baru memeluk Islam. ‘Tidak mengamalkan ajaran Islam’ tidaklah menjadikan seseorang itu kafir, seperti memakan babi atau meminum arak. Begitu juga jika seseorang itu berzina, mencium perempuan ajnabi, membunuh orang tanpa hak, mencuri, menerapkan hukum sekular dan sebagainya tidak menjadikan seseorang itu kafir. Akidahnya tidak gugur dengan hanya melakukan perbuatan tersebut. Ia hanya menjadikan seseorang itu berdosa kerana telah melakukan keharaman. Berbeza halnya dengan seorang Muslim yang ‘meyakini’ (dari segi akidah) bahawa berzina adalah halal, minum arak adalah halal atau menerapkan hukum kufur/sekular adalah halal. Di sini akidahnya boleh gugur.

Adapun perbuatan Siti Fatimah yang dikatakan balik ke rumah dan menyembah berhala, maka perbuatan ini sahajalah yang perlu dibawa untuk membuktikan yang dia telah kembali ke agama asal (murtad). Apabila dia telah mengakui dengan jelas bahawa dia telah menyembah berhala Buddha, maka tidak diragukan lagi bahawa dia sekarang telah murtad (keluar dari Islam). Ini kerana dia merupakan seorang yang telah pun bersyahadah sebelumnya. Jadi, dengan kata lain, permohonan sebenarnya adalah agar mahkamah ‘mengesahkan’ bahawa beliau telah keluar dari Islam. Pokok persoalan di sini bukan lagi untuk ‘menentukan status agama’ kerana berdasarkan keterangannya sendiri, kita sudah tahu bahawa dia telah kembali kepada agama Buddha (telah murtad). Jadi, tugas mahkamah dalam kes ini sebenarnya bukanlah untuk ‘mengesahkan’ atau memberi pengiktirafan bahawa dia bukan lagi seorang Islam. Di dalam Islam, fungsi mahkamah di dalam kes ini adalah untuk mengarahkan agar si murtad bertaubat dan jika enggan (setelah diberi tempoh waktu tertentu), maka tugas hakim sekarang adalah menjatuhkan hukum Allah ke atasnya berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam “Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia” [Hadis Riwayat Jemaah ahli hadis, kecuali Muslim]. [Untuk kefahaman lanjut tentang hukum murtad dan tugas mahkamah dalam Islam, sila rujuk SN078: 250,000 Murtad – Masihkah Kita Ingin Berdiam Diri dan juga SN125: Sijil Mati Untuk Lina Joy].

Keputusan mahkamah yang hanya ‘mensahkan’ agama si murtad, memerintahkan MAIPP agar membatalkan Sijil Memeluk Islam dan meminta si murtad pergi sendiri memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya adalah bertentangan langsung dengan hadis Rasulullah. Ini hanyalah keputusan berdasarkan hukum rekaan manusia di Pulau Pinang yang diputuskan menurut Enakmen Aturcara Mal 2004, bukannya keputusan yang disandarkan kepada ketetapan dari Allah dan Rasul di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi, bagaimana mungkin ada orang Islam yang boleh memuji dan menilainya sebagai ‘tepat’? Apakah parameter yang digunakan untuk membuat penilaian sebegini, akal atau wahyu? Yang turut menyedihkan kita ialah ‘perangai’ pihak MAIPP hanya datang sekali sahaja ke mahkamah sepanjang perbicaraan. MAIPP ditegur keras oleh mahkamah kerana tidak mengambil berat dalam membimbing saudara-saudara baru kepada Islam. Teguran oleh hakim Othman Ibrahim itu ada asasnya dan inilah yang kita mahukan, kerana teguran itu didasarkan kepada Islam. MAIPP sepatutnya menjalankan amanah yang diserahkan kepada mereka dengan baik, namun yang berlaku adalah sebaliknya. Di samping ‘memberi teguran’ yang baik, kita juga mengharapkan agar hakim syari’e di seluruh Malaysia dapat menerima teguran yang baik. Hakim syari’e perlu sedar bahawa mereka memutuskan hukum bukan berdasarkan apa yang Allah turunkan dan mereka perlu insaf bahawa mereka memutuskan hukum bukan berdasarkan apa yang Rasulullah perintahkan.

Hakim syari’e perlu sedar bahawa adalah haram bagi mereka untuk berhukum dengan hukum yang dibuat oleh manusia. Mereka wajib menjadi hakim yang memutuskan sebagaimana Rasulullah memutuskan (berdasarkan hukum wahyu). Mereka perlu bertaubat dari dosa-dosa mereka dan mereka perlu bangkit untuk merubah hukum kufur sekular yang ada pada hari ini dan menggantikannya dengan hukum Allah. Kita tidak mahu lagi hidup di dalam sistem sekular yang hanya menjadikan seseorang itu ‘Muslim’ hanya berdasarkan sekeping sijil, kemudian jika dia ingin keluar dari Islam, maka boleh dibenarkan dan sijil tersebut dibatalkan. Ramai di kalangan umat Islam yang mendakwa bahawa kita tidak ada pilihan lain kecuali mengikut sahaja undang-undang yang sedia ada. Kita manfaatkan undang-undang kufur yang sedia ada untuk kebaikan Islam, hujah mereka. Hujah ini bukan sahaja keliru, malah bercanggah dengan Islam. Yang benarnya ialah kita dilarang (haram) untuk berhukum dengan hukum kufur dan kita wajib berjuang untuk menggantikannya dengan hukum Islam. Kita tidak dituntut untuk memanfaatkan sistem kufur, tetapi kita dituntut untuk menukarnya kepada sistem Islam.

Suatu yang haram itu haram untuk dimanfaatkan dan wajib diganti dengan yang halal, bahkan ‘jalan’ yang menuju kepada yang haram pun adalah haram (al-wasilatul ilal haram, haram). Kaedah syarak juga menyebut bahawa ridha bil kufr, al-kufr (redha dengan kekufuran itu adalah satu kekufuran). Peguam syari’e yang mengendalikan kes ini nampaknya gagal memahami bahawa murtad itu adalah satu kesalahan di bawah hudud, sepertimana mencuri atau berzina. Jika beliau faham dan meletakkan bahawa murtad adalah satu kesalahan/keharaman, maka tentunya beliau tidak akan membuat permohonan yang menjadi wasilah (jalan) menuju keharaman. Di dalam Islam ‘kesalahan’ itu adalah sesuatu yang wajib dihukum, bukan dipohon. Contohnya, jika seseorang mengaku telah berzina di hadapan peguam, apakah peguam itu dibolehkan mewakili penzina tersebut di mahkamah untuk mendapatkan pengisytiharan/pengesahan mahkamah bahawa dia telah berzina atau dia adalah seorang penzina? Begitu juga jika seseorang itu telah mengaku mencuri, apakah peguam dibolehkan mewakili pencuri tadi untuk mendapatkan pengisytiharan/pengesahan mahkamah bahawa, ya benar dia telah mencuri dan dia sekarang adalah seorang pencuri? Apakah hakim itu pula, setelah mendengar pengakuan salah dan bukti-bukti, dibolehkan mengeluarkan ‘pengesahan’ bahawa, ya benar sifulan bin sifulan adalah seorang pencuri, penzina atau pemurtad?

Inilah yang gagal difahami oleh peguam dan juga hakim yang mengendalikan kes ini, bahawa, baik berzina atau mencuri, apatah lagi murtad, semua itu adalah ‘kesalahan’ yang wajib dihukum di mahkamah, bukannya untuk ‘dipohon’ atau ‘disahkan’. Fungsi mahkamah bukannya untuk ‘mensahkan’ kesalahan, tetapi untuk ‘menghukum’ kesalahan. Cara untuk memartabatkan Islam bukannya dengan ‘berjaya’ mengheret orang kafir ke Mahkamah Syariah (sebagaimana yang dibanggakan peguam dalam kes ini), tetapi adalah dengan cara berhukum dengan hukum Islam. Kita perlu sedar di sini bahawa mahkamah syariah yang ada bukanlah mahkamah Islam dan bukanlah mahkamah yang berhukum dengan hukum Islam. Kewujudan dan bidang kuasanya itu sendiri adalah ditentukan sepenuhnya oleh hukum sekular buatan manusia. Berjaya membawa seorang kafir ke mahkamah syariah yang memutuskan hukum bukan dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya bukanlah satu kejayaan di dalam memartabatkan Islam, malah ia menjadi jalan menuju keharaman.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Walau apa pun alasan yang diberikan oleh hakim di dalam penghakimannya atau oleh peguam di dalam mempertahankan tindakannya mewakili si murtad Tan Ean Huang ini, yang pasti, perbuatan mereka telah berjaya menggembirakan orang-orang kafir, baik di dalam negeri mahupun di luar negara. Apa yang dilakukan Ahmad Jailani tentunya akan dapat menarik ramai lagi golongan murtad di Malaysia untuk menggunakan ‘khidmat’ beliau yang telah ‘berjaya’ memberi kemenangan selesa kepada si murtad. Dan golongan kafir di seluruh dunia, khususnya kuffar Barat pun akan ‘tabik’ kepada beliau kerana ‘berjaya’ membuktikan bahawa Islam menjamin kebebasan beragama, khususnya bagi sesiapa yang ingin keluar dari Islam. Niat baik beliau di dalam mewakili golongan terlaknat ini tentunya akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh golongan kuffar untuk ‘menjulang’ Islam sebagai agama yang membawa kebebasan, sebagaimana agama-agama lainnya. Mungkin selepas ini akan bermunculanlah kes Siti Fatimah Tan II, Siti Fatimah Tan III dan seterusnya. Agama Islam akan terus terhina kerana sikap segelintir umat Islam itu sendiri yang sentiasa ‘berkompromi’ dengan hukum kufur dan mengambil sikap ‘memperjuangkan’ Islam di dalam bingkai kekufuran serta mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara. Disebabkan kekeliruan dalam berfikir dan ditambah dengan tugas/hidup seharian yang bergelumang dengan sistem kufur, menyebabkan hakim yang ikhlas dan peguam yang baik pun tidak dapat menghakimi perkara-perkara berasaskan hukum-hakam Islam. Sepatutnya peguam syari’e, hakim syari’e dan umat Islam keseluruhannya tampil ke hadapan untuk menyatakan pendirian menolak undang-undang selain undang-undang Allah Subhanahu wa Ta’ala dan masing-masing bekerja sama berjuang untuk mencampakkan sistem kufur-sekular yang ada dan menggantikannya dengan sistem Khilafah. Inilah yang sewajibnya dilakukan oleh kaum Muslimin, bukannya terus memperhambakan diri berkhidmat dan tunduk patuh serta pasrah kepada hukum Jahiliyyah yang ada.

No comments: